Saturday, November 6, 2010

video

kembaraku ke Perlis


Bak kata orang semakin luas perjalanan semakin luas pengalaman. Begitulah yang boleh dikatakan mengenai pengalaman penulis selama empat hari tiga malam di bumi Perlis Indera Kayangan.

Perlis

Perlis Indera Kayangan merupakan negeri yang terkecil dalam Negara kita, Malaysia. Negeri yang terkenal dengan jolokan “kilang gula” ini mempunyai banyak tarikan dan keistimewaannya yang boleh menggamit kehadiran pengunjung.

Perlis yang terletak di utara Malaysia dan berada dalam lingkungan antara sempadan Malaysia dan Negara Thai ini menjanjikan kepuasan untuk para pelancong yang gemarkan suasana kampung yang menenangkan hati dan jauh dari hiruk pikuk kesibukan kota.

Pengalaman penulis

Perjalanan dari Shah Alam ke Perlis selama lapan jam tidak terasa lantaran suasana sepanjang jalan yang menghijau mendamaikan hati jauh dari pelbagai masalah.

Seakan hilang segala kusut di minda pabila menjamah mata dengan pemandangan sawah padi yang menghijau, bangau-bangau yang melatari pemandangan itu, seakan melihat lukisan yang tak ternilai.

Perlis yang berjiran dengan negeri Kedah ini juga terkenal dengan pelbagai tempat menarik yang menjadi tumpuan pelancong tempatan dan pelancong dari luar Malaysia yang datang dari pelbagai tempat dan benua.

Menjejakkan sahaja kaki ini ke tanah Perlis, terasa dingin dan nyaman sekali, mungkin kerana alam sekeliling yang menghijau dan menyegarkan. Tempat pertama kami menjejakkan kaki pastinya ke tempat penginapan kami selama kami di bumi Bukit Ayer Perlis, di Eagle Park Resort.

Suasana menghijau dikelilingi pepohon, seakan terasa penulis berada di kawasan kampung yang sebenar walhal penulis saat itu berada di resort. Binaan chaletnya juga menggamit rasa rindu penulis pada kampung halaman, air sungai yang mengalir menenangkan jiwa.

Makanan yang dihidangkan juga menyelerakan, masakan kampung yang menggamit rasa hati anak kampung yang hidup di rantauan. Setiap kali makan pasti terasa ingin menambah lagi,walhal perut sudah penuh tidak boleh diisi lagi.

Perlis juga dikenali dengan keharuman buah mangga harum manisnya, namun sayangnya saat lawatan kami,peluang untuk melihat proses penanaman tidak dapat kami alaminya kerana ladang sedang ditutup kerana baru sahaja melepasi proses semburan racun.

Namun itu tidak dapat mematahkan semangat penulis dan rakan-rakan, kerana banyak lagi tempat menarik yang akan dilawati yang menjanjikan pengalaman yang tidak ternilai. Rimba herba menjadi destinasi penulis seterusnya.

Keanehan dan keunikan Rimba Herba

Rimba herba negeri Perlis ini merupakan salah satu projek kerajaan negeri Perlis dalam mempelbagaikan potensi tumbuhan herba dimanfaatkan oleh generasi masa kini dan generasi akan datang. Rimba herba ditubukan pada tahun 1998 berkeluasan 12 hektar dengan fungsi untuk menempatkan koleksi tumbuhan-tumbuhan ubatan yang digunakan oleh penduduk setempat khasnya dan tumbuhan ubatan lain amnya.

Aneh nama-nama yang diberikan untuk setiap tumbuhan herba yang menjadi koleksi Rimba herba ini,antara yang menarik perhatian penulis pastinya tanaman herba seperti tumbuhan herba yang diberi nama derhaka mertua,teruna semalam,panas bulan lima,hamba raja,janggut udang, sangat aneh dan lucu namanya,pasti ada cerita di sebalik nama diberi. Derhaka mertua seperti namanya khasiatnya juga agak lucu, meningkatkan tenaga batin. Pasti ramai penggemarnya.

Selain derhaka mertua, terdapat lebih 900 spesies tumbuhan herba lain boleh didapati di Rimba herba ini. Ah,terasa pula penulis bagaikan berada di hutan saat dibawa menyelusuri rimba herba ini. Namun sayangnya saat kedatangan kami, tidak ada pegawai yang mengiringi kami untuk menerangkan lebih lanjut, Cuma ada beberapa orang pekerja yang menguruskan rimba herba ini sahaja yang ada, jadi tidak dapatlah penulis bertanya lebih lanjut.

Penulis dan rakan-rakan dihidangkan dengan air teh misai kucing,ah rasanya seperti minum air cincau yang langsung tidak bergula,tawar dan rasa sedikit payau. Teh misai kucing ini dikatakan khasiatnya dapat melancarkan pengaliran darah,merawat darah tinggi dan kencing manis. Bagi sesiapa yang ingin membeli, teh ini dijual dengan harga RM5 sepeket,tumbuhan misai kucing ini juga diproses dalam bentuk kapsul dan juga turut dijual.

Selepas puas menjelajah Rimba Herba dan keunikan koleksi tumbuhan herbanya,destinasi penulis seterusnya ke ladang anggur. Wah wah tidak sangka ya di Malaysia boleh ada anggur!

Saat berada di ladang anggur, penulis didedahkan dengan proses penanaman anggur. Dalam masa yang sama mendengar penerangan, penulis juga sempat merasa buah anggur yang ditanam. Namun rasanya tidak semanis yang kita dapat rasa seperti selalunya kerana anggur ini masih belum cukup tempoh matangnya.

Tedung si raja ular

Hari kedua di bumi Perlis Indera Kayangan, penulis melawat pula taman ular. Pelbagai jenis ular terdapat di situ. Antara yang paling mendapat tumpuan adalah ular tedung selar atau king cobra. Penulis dan rakan-rakan juga diberi peluang untuk bermain dengan ular sawa seberat 12 kilogram yang diberi nama Manja.

Saat paling menarik apabila menyaksikan sendiri adegan “siaran langsung” ular memakan mangsanya, beberapa ekor tikus putih yang memang diletakkan di dalam kandang ular sebagai santapan sang ular.Penulis juga berkesempatan melihat haiwan lain yang turut ada di situ, antaranya monyet dan buaya.

Terasa lucu dan seriau melihat gelagat monyet yang nakal. Saat kawan penulis sibuk mencari sudut terbaik untuk mengambil gambar, monyet comel itu menarik hujung baju kawan penulis. Mungkin cemburu agaknya kerana kawan penulis tidak mengambil gambarnya sedangkan kawan-kawan penulis yang lain memfokus kamera ke arahnya. Lucu bila kamera difokus ke arahnya, monyet itu bergaya seolah sedia untuk diambil gambarnya.

Gua Kelam penyegar minda

Gua Kelam menjadi destinasi kami seterusnya, menyelusuri Gua Kelam dan menghayati persekitarannya, mengingatkan penulis kepada sejarah Gua Kelam. Pada tahun 1935, seorang warga Inggeris menyedari bahawa laluan sungai di sini adalah cara yang baik untuk mengangkut bijih timah dari sebuah lombong berhampiran sungai ini menerusi gua bawah tanah ke Kaki Bukit. Kini pelawat tempatan dan asing boleh berjalan menerusi gua ini menggunakan sebuah titian gantung kayu yang diterangi cahaya lampu.

Saat penulis menyelusuri Gua Kelam, sedikit terasa perasaan seram sejuk, ditambah pula dengan rasa gayat penulis menaiki titian gantung, ditambah dengan cahaya lampu yang samar dan bunyi air sungai yang mengalir di bawahnya. Namun bagi sesiapa yang gemarkan cabaran, aktiviti ini amat didambakan.

Selamat tinggal Perlis

Hari terakhir di Perlis, penulis menyeberangi sempadan Malaysia untuk ke Wang Kelian yang terkenal dengan pasar hari ahadnya. Pada hari ahad, pelawat dari kedua-dua buah Negara Malaysia dan Thailand boleh pergi ke ke dua-dua bahagian pasar baik di sebelah sempadan Malaysia mahupun disebelah sempadan Negara Thai tanpa memerlukan passport.

Di pasar Wang Kelian,penulis bagaikan tidak percaya saat membeli belah disini, harganya terlalu murah jauh jika dibandingkan dengan di Malaysia, Kuala Lumpur terutamanya. Tetapi berlaku sedikit masalah saat berkomunikasi dengan peniaga-peniaga di sini kerana tidak semuanya pandai berbahasa Melayu. Kadangkala berlaku juga adegan seperti itik bercakap dengan ayam saat tawar- menawar harga barang.

Sesudah puas menabur duit membeli belah di Wang Kelian, destinasi seterusnya ialah Padang Besar juga terkenal kerana kewujudan pasar besar yang menjadi tumpuan penduduk dari Malaysia dan Negara Thai untuk membeli belah. Padang Besar terletak bersempadan dengan wilayah Songkhla, Thailand.

Padang Besar merupakan destinasi terakhir penulis di Perlis, sesudah itu penulis terpaksa mengucapkan selamat tinggal pada bumi bertuah Perlis Indera Kayangan. Penulis turut menyimpan hasrat dalam hati bahawa satu hari nanti bumi Perlis yang indah ini pasti dikunjungi lagi, kerana keunikan budaya dan keindahan alam semulajadinya.