Monday, August 31, 2009

BOLEHKAH BERITA DALAM TALIAN MENGATASI AKHBAR TRADISIONAL?

BOLEHKAH BERITA DALAM TALIAN MENGATASI AKHBAR TRADISIONAL?
Dewasa ini kita dapat melihat kebangkitan berita dalam talian. Berita dalam talian mulai mendapat perhatian meluas tambahan lagi selepas digunakan sebagai medium untuk meraih undi dan medium untuk bersuara bagi kumpulan pembangkang semasa pilihan raya ke-12 yang lalu. Berita dalam talian mulai mengumpul peminat tersendiri dalam jumlah yang ramai walaupun akhbar dalam talian sudah wujud sejak awal tahun 90-an. Pertambahan jumlah pembaca akhbar dalam talian ini apakah mungkin dapat mengatasi akhbar talian?
Akhbar tradisional adalah akhbar berbentuk cetakan, manakala berita dalam talian lebih menyentuh kepada berita yang disiarkan melalui rangkaian internet, sama ada melalui laman web, laman blog mahupun laman chat atau laman sembang. Penonjolan berita dalam talian lebih menyerlah sewaktu tempoh pilihan raya ke-12 yang lalu dan sehingga ke hari ini. Berita-berita yang dipaparkan di laman berita dalam talian dikatakan lebih sensasi dan meggemparkan pembaca kerana mereka para penulis laman berita dialamtalian dikatakan lebih radikal dan berani untuk meluahkan rasa yang terpendam dalam jiwa ke dalam artikel mahupun penulisan mereka.
Peralihan pembaca akhbar tradisional terhadap berita dalam talian boleh dipengaruhi oleh banyak faktor, antaranya ialah perkembangan teknologi. Satu masa dahulu berita hanya boleh didapati daripada akhbar tradisional, iaitu akhbar bercetak. Namun kini berita boleh didapati dalam talian iaitu melalui penggunaan media digital internet. Kebanyakan pembaca berita dalam talian terdiri daripada masyarakat bandar, masyarakat di luar bandar masih bergantung pada akhbar tradisional kerana pengaruh internet masih tidak begitu meluas di luar Bandar. Namun begitu, masih ada juga pembaca berita dalam talian di kawasan luar Bandar namun jumlahnya masih sedikit jika dibandingkan dengan jumlah pembaca berita dalam talian di bandar.
Rata-rata pembaca berita dalam talian terdiri daripada golongan muda dan dewasa yang masih belajar dan bekerjaya yang memerlukan mereka sentiasa berada di hadapan komputer mereka maka mereka lebih terdedah kepada perkembangan berita dalam talian. Maka pemikiran mereka lebih terpengengaruh ke arah gaya dan pemikiran menentang kerana ketika ini rata-rata berita dalam talian banyak mengkritik kerajaan dan sistem pemerintahan dan undang-undang yang Malaysia guna pakai ketika ini.
Golongan muda adalah golongan yang teramai di kalangan pembaca setia berita dalam talian gara-gara mereka lebih terdedah kepada perkembangan teknologi. Kehidupan mereka banyak dipengaruhi dengan penggunaan teknologi dalam komunikasi terutamanya maka tidak hairanlah mereka lebih memilih untuk menjadikan berita dalam talian sebagai bahan cerita dan maklumat mereka sedangkan mereka sendiri tidak mengetahui sama ada maklumat atau informasi yang dipaparkan itu benar atau cuma luahan perasaan si penulis atau spekulasi dan hipotesis semata-mata.
Mungkin daripada sudut golongan pembaca, berita dalam talian boleh dikatakan telah berjaya mengatasi sedikit kepopularan akhbar tradisional, namun akhbar tradisional masih ada tempat dalam masyarakat Malaysia.
Ya, benar berita dalam talian lebih menarik dengan pelbagai gaya penyampaiannya. Berita dalam talian lebih menarik daripada akhbar tradisional dari pelbagai sudut. Pertama, berita dalam talian lebih pantas, lebih efisyen daripada akhbar tradisional. Akhbar tradisional pada pandangan mereka kurang updated dan kurang ranggi berbanding berita dalam talian yang lebih menarik yang boleh memuatkan pelbagai jenis reka letak yang lebih menarik, boleh memuatkan video, audio dan sebagainya.
Seperkara lagi berita dalam talian dikatakan lebih menarik kerana gaya penulisan yang lebih berani dan bebas daripada sebarang etika penulisan, komunikasi dan penerbitan yang selama ini telah menyekat ruang dan kebebasan para wartawan akhbar untuk menulis mengikut jiwa dan kehendak mereka yang sebenarnya. Wartawan di dalam akhbar tradisional menulis dalam batasan yang ditetapkan oleh orang atasan mereka, disekat oleh etika kewartawanan dan disekat oleh pelbagai individu mahupun kumpulan yang “memberi makan” kepada mereka. Masakan pula mereka sanggup menggigit tangan yang memberi mereka makan. Jika wartawan- wartawan akhbar tradisional ini terlalu berani melanggar perintah, tidak mustahil mereka akan kehilangan punca rezeki. Jadi sebagai cara untuk menghamburkan kemarahan dan rasa kecewa yang tependam dan sarat di dada, ada di antara para wartawan ini telah menceburkan diri di dalam arena kewartawanan dalam talian bagi menyebarkan rasa yang membeku di dada untuk dikongsi dengan para pembaca berita dalam talian.
Kupasan isu yang diutarakan di dalam berita dalam talian lebih melekat di jiwa para pembaca kerana cara pengolahannya lebih berjiwa berbanding akhbar tradisional yang lebih formal dan agak membosankan. Kadangkala para pembeli akhbar tradisional sekadar membeli untuk mencukupi syarat kebiasaan rutin kehidupan mereka, tidak pula akhbar itu dibaca, ada yang cuma sekadar membelek dan meneliti tajuk-tajuk utama sebelum meletakkan akhbar itu ke tepid an langsung meneruskan kerja mereka seperti biasa. Hal ini amat berbeza jika dibandingkan dengan berita dalam talian yang lebih menarik dan mustahil pula untuk dibuang ke tepi.
Berita dalam talian dikatakan lebih melekat di jiwa pembaca mahupun tetamu di lamannnya kerana gaya pengolahan dan penyampaian informasi mahupun beritanya banyak dipengaruhi oleh emosi penulis yang menulis dengan penuh semangat dan tanpa batasan sementelahan pula tiada sebarang sekatan dan tapisan dikenakan kepada berita dalam talian, keadaan ini amat berbeza dengan akhbar tradisional yang mana setiap bahan yang akan disiarkan akan diedit dan ditapis terlebih dahulu sebelum dicetak dan diedarkan kepada umum. Jadi hasil tulisannnya lebih digemari. Bukankah masyarakat Malaysia amat menggemari sesuatu yang sensasi dan menggemparkan, maka kerana itu tumpuan terhadap berita dalam talian lebih hangat daripada tumpuan terhadap akhbar tradisional.
Para audiens kini lebih bijak untuk mendapatkan isu-isu sensasi, mereka akan beralih kepada berita dalam talian untuk mendapatkan pandangan lain mengenai sesetengah isu secara lebih meluas dan tidak formal. Berita-berita yang disiarkan di internet tidak melalui proses tapisan jadi sudah tentu berita yang disiarkan lebih sensasi dan berterus-terang gaya penyampaiannya.
Namun begitu kelebihan-kelebihan yang dimiliki oleh berita dalam talian ini tidak bermaksud bahawa berita dalam talian sudah berjaya mengatasi akhbar tradisional kerana akhbar tradisional masih relevan sehingga kini kerana mediumnya meluas. Ya, benar berita dalam talian lebih mudah untuk didapatkan,hanya sekadar di hujung jari. Tetapi apahal pula bagi kawasan pendalaman yang tidak boleh disambungkan dengan rangkaian internet, bolehkah mereka membaca berita dalam talian? Justeru itu hal ini telah menjejaskan penyebaran berita dalam talian.
Akhbar tradisional yang dicetak di atas kertas lebih mudah dibawa ke mana-mana sahaja bahkan ke bilik kecil juga boleh, berbeza pula dengan berita dalam talian yang hanya boleh dibaca di komputer bahkan perlu pula disambung kepada rangkaian internet. Agak menyusahkan ya! Jika terlampau lama membaca berita dalam talian di komputer juga boleh menjejaskan kesihatan mata para pembacanya aibat terlampau lama menghadap cahaya komputer yang boleh menyebabkan mata agak letih dan boleh meroskkan mata kita pula.
Kadangkala untuk membuka laman berita di internet juga memakan masa yang agak lama untuk menanti balasan server untuk membuka laman berita yang kita kehendaki. Bukan semua orang punya masa yang lapang untuk melayari internet untuk membaca berita dalam talian. Akhbar tradisional lebih mudah dibaca, untuk ke muka surat seterusnya hanya perlu diselak ke sebelah dan langsung boleh dibaca, tidak perlu menanti dalam masa yang lama.
Berita yang dipaparkan di laman sesawang berita dalam talian ini pula tidak menyeluruh dan cuma mengenengahkan isi-isi utama yang harus diketahui, berbeza dengan akhbar tradisional yang memaparkan berita yang lebih menyeluruh dan padat.
Ya, mungkin benar kadangkala berita dalam talian lebih pantas dalam menyiarkan sesuatu berita lebih awal daripada akhbar tradisional, namun harus diingat bahawa berita yang mereka siarkan tidak semestinya benar kadangkala isu yang dipaparkan cuma khabar angin. Namun berbeza dengan akhbar tradisional ynag hanya akan memaparkan berita yang disahkan benar oleh pihak yang berkaitan, maka pembaca tidak akan keliru dan salah faham.
Di akhir kata sebagai penguat hujah ingin ditegaskan bahawa mungkin benar kini berita dalam talian mulai diperkatakan oleh umum lebih berbanding akhbar tradisional namun itu tidak bermakna berita dalam talian sudah berjaya mengatasi akhbar tradisional kerana akhbar tradisional sentiasa mendapat tempat dan menjadi tumpuan dalam masyarakat. Sementelahan pula kekangan penyebaran berita dalam talian akibat tiada rangkaian internet di sesetengah kawasan terutamanya kawasan luar Bandar telah menyukarkan berita dalam talian untuk menggugat pengaruh akhbar tradisional.

No comments:

Post a Comment