Monday, August 31, 2009

MELAYU MULA TERPINGGIR

Melayu mula terpinggir
Apakah benar Melayu mulai dipinggirkan dari Malaysia, tanah tempat tumpah darah bangsa Melayu ini sendiri? Isu yang diutarakan Aspan Alias ini boleh mewujudkan kerunsingan dan kebimbangan kepada kita anak bangsa Melayu. Jika benar hal ini tejadi maka susahlah kita bangsa Melayu yang seolah-olahnya sejak dari dulu taraf ekonomi kita berada di belakang bangsa yang satu itu. Ah, masakan tidak banyak syarikat dan perniagaan swasta dimonopoli mereka, kita yang terbelakang ini seolah mengemis pula di tanah sendiri.
Bukti Melayu mulai dipinggirkan cuba ditunjukkan saudara Aspan melalui anak sahabatnya dan anaknya sendiri yang berkelulusan luar negara namun masih gagal mendapatkan pekerjaan gara-gara kebanyakan syarikat menjadikan bahasa mandarin sebagai syarat wajib untuk mereka. Saudara Aspan juga menunjukkan bukti dengan menyatakan hampir 80 peratus iklan di ruangan iklan pekerjaan menunjukkan bahasa mandarin dijadikan sebagai syarat untuk bekerja di negara ini.
Hal ini seolah menunjukkan kepada kita bahawa bangsa Melayu mulai dipinggirkan. Bukankah bangsa yang menuturkan bahasa mandarin itu adalah bangsa yang sudah ke depan dalam bidang ekonomi, yang menjadi pemonopoli ekonomi Malaysia. Syarat yang dikenakan ini seolah menunujukkan kepada kita bahawa mereka ingin menguasai tanah asal kita ini, menunjukkan kepada kita bahawa mereka boleh menindas kita dari sudut ekonomi. Semudah itukah kita kita boleh dipinggirkan?
Saudara Aspan Alias juga menyalahkan pemimpin yang mewakili bangsa kita kerana seolah mengabaikan isu yang berbangkit ini. Dia juga telah menyatakan bahawa pemimpin yang berada di atas hanya tamakkan harta, pangkat dan kuasa tanpa mengambil berat masalah anak bangsa sendiri yang enak dibuli dan ditindas oleh bangsa lain di hadapan mata mereka sendiri. Bukankah tugas mereka menyampaikan amanah yang maha besar iaitu menjaga kebajikan rakyat, menjadi medium kepada rakyat untuk menyampaikan suara hati rakyat kepada masyarakat umum. Jika pemimpin kita yang di atas itu masih tidakterjaga dari lena, nampak gayanya kita sendiri perlu bangkit sendiri menyelesaikan masalah kita sendiri, hendak mengharapkan orang-orang atasan itu entah sampai bila.
Kita sendiri ini, bangsa Melayu perlu jaga sendiri dari lena, cabaran yang disua oleh bangsa penutur bahasa mandarin ini harus kita sahut, mereka fikir kita takut, kita tidak harus cepat pasrah. Syarat yang dikenakan oleh mereka relevan untuk mereka kerana rata-rata rakan mahupun musuh dalam dunia bisnes adalah bangsa mereka sendiri, penggunaan bahasa mandarin akan memudahkan lagi urusan perniagaan mereka. Hal ini memang tidak boleh dinafikan. Jadi kita ini bangsa Melayu haruslah mengambil inisiatif sendiri. Janganlah kita harapkan “orang yang di atas” untuk jaga dari lena,kita ini sendiri yang harus sedia untuk menghunus keris andai terpaksa.
Jika bahasa mandarin dijadikan syarat wajib, kita jangan cepat melatah, lengkapkanlah diri kita ini dengan ilmu yang sepatutnya, belajar bahasa mandarin, jadikanlah diri kita mahir dengan bahasa itu. Tidak semestinya kita belajar dan bertutur dalam bahasa ibunda bangsa lain kita telah belot dengan bangsa kita sendiri. Jelas mentaliti dan pemikiran kita ini harus kita ubah jika kita ingin berada di atas bangsa penutur bahasa mandarin ini. Mereka tidak akan punya alasan lain lagi untuk menolak kita dari bekerja dengan mereka kerna syarat wajib itu telah kita penuhi.
Sebagai penyudah kata, jika perlu kejutkanlah “orang yang di atas” dari terus leka dan lena dibuai mimpi. Gara-gara kelekaan mereka itu kelak akan memusnahkan bangsa sendiri, iaitu kita-kita yang ada di bawah ini. Bumi tidak selamanya akan berputar di paksinya, satu hari ia akan berhenti juga.saat itu jangan menyesali perbuatan sendiri,amanah yang gagal dibawa sebaiknya cuma akan memakan diri.

No comments:

Post a Comment